Articles

Merawat baki tali pusat bayi anda

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia


Setelah bayi anda dilahirkan, doktor anda akan menyepit dan memotong tali pusat bayi anda. Bayi anda tidak akan terasa sakit apabila ini dilakukan. Di tempat tali pusat melekat ke perut, terdapat baki atau tunggul yang tertinggal sepanjang 2cm ke 3cm. Baca seterusnya tentang bagaimana menjaga baki atau tunggul tali pusat dengan bersih dan bebas dari infeksi.

67baby_skincare

Berapa lamakah baki tali pusat bayi saya terlekat padanya?

Baki tali pusat bayi anda akan gugur lebih kurang seminggu selepas kelahiran. Apabila dia dilahirkan doktor anda akan menyemat tunggul itu dengan penyepit plastik atau mengikatnya. Doktor anda akan menanggalkan ikatan selepas sehari dua, apabila tunggul itu kering dan tertutup.

Tunggul itu akan mengecut, menjadi hitam dan gugur. Akan terdapat luka kecil yang akan pulih dan menjadi pusat bayi anda.

umbilicalcord_02

Bagaimanakah untuk merawat tunggul tali pusat bayi saya?

Anda perlu memastikan baki tali pusat bayi anda itu bersih dan kering untuk mencegah jangkitan. Anda boleh melakukan ini dengan memandikan bayi anda dari atas ke bawah dengan flanel suam basah. Tidak menjadi masalah jika tunggul itu terkena air. Ini tidak akan melambatkan pemulihan atau memudahkan lagi kebarangkalian infeksi.

Anda boleh mencuci tunggul bayi dengan air biasa, atau dengan sabun lembut tanpa wangian atau sedikit pencuci bayi pH neutral yang dicampurkan kepada air mandi. Selepas dimandi atau dicuci, tepuk-tepukkan tunggul itu dengan tuala atau kain lembut. Pastikan bayi anda tidak sejuk dan biarkan tunggul kering dengan baik sebelum memakaikan lampin.

Anda tak perlu menggunakan antiseptik untuk baki tali pusat itu. Cukup setakat memastikan ianya bersih. Menggunakan antiseptik bermakna tunggul itu akan mengambil lebih lama masa untuk menanggal.

Walau bagaimanapun, jika bayi anda dilahirkan pramatang atau telah menghabiskan masa di bawah rawatan khusus, elok juga dipastikan tunggul dicuci bersih dengan antiseptik. Bayi tidak akan mandi untuk beberapa lama lagi. Kakitangan di unit neonatal akan menasihati anda tentang bagaimana menjaga bayi dan memastikan dia bersih.

Berikut adalah beberapa lagi tip yang boleh ikuti untuk merawat tunggul bayi anda.

• Pastikan anda mencuci tangan, sebelum dan selepas pertukaran lampin dan cucian.

• Biarkan tunggul itu gugur dengan sendirinya. Jangan tarik ia.

• Jangan biarkan tunggul itu bergelimun air kencing atau najis. Anda boleh lakukan ini dengan melipat pinggang lampin bayi ke bawah. Ini akan membiarkan tunggul itu terdedah kepada udara atau ditutup oleh baju yang longgar dan bersih. Setengah lampin mempunyai lubang di depan untuk membiarkan tunggul itu terdedah.

• Jika tunggul itu terkena air kencing atau najis, basuh rapi dengan pencuci bayi pH neutral.

Berapa lamakah pusat itu akan memulih?

Setelah tunggul itu gugur, tunggu antara tujuh hingga 10 hari bagi tempat di kelilingnya pulih sepenuhnya. Anda mungkin ternampak sedikit darah di lampin bayi anda. Ini adalah normal.

Kadangkala baki tali pusat itu mengambil lebih masa untuk pulih, dan cebisan daging berketul akan muncul di tempat luka. Ini bukan sesuatu yang membimbangkan, dan ketulan ini akan hilang dalam sedikit masa.

Macam mana nak tahu jika tunggul bayi saya dijangkiti?

Adalah normal bagi baki tali pusat kelihatan kotor semasa ia memulih, atau terdapat nanah di bahagian bawah. Ini tidak bemakna ia telah dijangkiti.

Walau bagaimanapun, jika bayi anda mempunyai tanda-tanda yang berikut, ia bermakna baki tali pusat itu telah berjangkit:

  • Bayi anda mendapat demam panas, menjadi lesu, tidak mahu makan seperti biasa, atau kelihatan tidak sihat.
  • Pusatnya dan kawasan sekeliling menjadi bengkak atau busuk atau berair.

Minta doktor anda memeriksa baki tali pusat bayi anda jika risau tentang rupa dan baunya.

Kadangkala, tetapi jarang, baki tali pusat bayi memulih lebih lewat dari normal. Daging di bahagian dalam tunggul itu kelihatan bersih tetapi masih tidak pulih dan terasa sakit. Jika ini berlaku, minta doktor anda memeriksa tunggul itu.

Doktor anda barangkali mahu menutupkan tunggul itu. Penutupan diberi nama pengkauterian. Ia prosedur mudah. Doktor anda akan menggunakan batang kecil diberi nama batang perak nitrat. Ia adalah prosedur biasa dan tidak akan menyakitkan bayi anda sama sekali.

Tips seterusnya

PUSPANITA Cawangan Kecil BHEUU tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta terpelihara @ 2016 - PUSPANITA BHEUU JPM