Syarat Keahlian

Ahli Biasa 
 
1. Keahlian adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia yang terdiri daripada:
  • Isteri anggota Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan di Malaysia;
  • Anggota wanita di semua peringkat kumpulan Perkhidmatan Awam di Malaysia;
  • Isteri anggota Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan yang telah bersara atau meninggal dunia;
  • Isteri anggota Perkhidmatan Awam yang diceraikan;
  • Anggota wanita Perkhidmatan Awam yang telah bersara;
  • Ahli-ahli dari agensi-agensi Kerajaan yang telah diswastakan
 
 2. Ahli biasa berhak bersuara, mengundi dan memegang sebarang jawatan dalam Persatuan.kecuali kategori 1.vi.
 
Ahli Bersekutu 
 
1. Ahli bersekutu terbuka kepada:
  •  Isteri anggota Perkhidmatan Awam yang belum menjadi warganegara Malaysia;
  • Pekerja wanita yang digajikan oleh Persatuan

2. Ahli bersekutu layak menikmati keistimewaan seperti juga ahli-ahli biasa, berhak bersuara tetapi tidak berhak untuk mengundi atau memegang sebarang jawatan dalam Persatuan;

 3. Keahlian seseorang ahli bersekutu dalam kategori 1)i) di atas akan luput dengan sendirinya apabila suaminya berhenti atau diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Kerajaan;

4. Keahlian seorang ahli bersekutu dalam kategori 1)ii) di atas akan luput dengan sendirinya apabila ia berhenti atau diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Persatuan. 

 
Ahli Gabungan 
 
 
1. Ahli gabungan terbuka kepada Persatuan wanita yang telah didaftarkan di Kementerian/Jabatan dan diberi status yang sama seperti ahli biasa;

 2. Keahlian ahli gabungan akan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) berdasarkan permohonan di dalam borang yang disediakan;

3. Keahlian ahli gabungan juga terbuka kepada Persatuan yang mewakili anggota wanita dalam Perkhidmatan Awam dan isteri anggota Perkhidmatan Awam.

 

Ahli Kehormat

Yang DiPertua dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) boleh melantik ahli kehormat di kalangan wanita yang difikirkan boleh memberi sumbangan yang boleh memanfaatkan Persatuan. Ahli kehormat tidak mempunyai kuasa untuk mengundi di dalam apa-apa mesyuarat. 

 

Ahli Seumur Hidup 

1. Bekas Yang Dipertua secara automatik akan menjadi Ahli Seumur Hidup;

2. Ahli-ahli biasa yang membayar yuran seperti yang ditetapkan;

3. Ahli-ahli seumur hidup dari agensi-agensi Kerajaan yang telah diswastakan, akan terus kekal menjadi ahli tetapi tidak berhak mengundi atau memegang sebarang jawatan dalam Persatuan;

4. Ahli seumur hidup mempunyai hak-hak yang sama seperti ahli biasa iaitu berhak menghadiri mesyuarat, bersuara dan mengundi di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan, Mesyuarat Khas atau Mesyuarat-mesyuarat Agung di peringkat Cawangan dan boleh dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) dan Ahli Jawatankuasa Cawangan; "Lima orang perwakilan daripada Ahli Seumur Hidup dipilih untuk menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan".

 

Ahli Tidak Hadir

Ahli biasa yang perlu berada di luar negera bagi sesuatu tempoh tidak kurang daripada 6 bulan.
 

Permohonan Menjadi Ahli

Permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat melalui Borang Permohonan dan secara on-line, dan dihantar kepada Setiausaha Cawangan yang berkenaan yang seterusnya hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Cawangan tertentu untuk pertimbangan. Ahli-ahli kakitangan kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri hendaklah menyalurkan permohonan kepada Setiausaha Cawangan negeri di mana ia berkhidmat.

Permohonan-permohonan menjadi ahli di tempat di mana Cawangan berkenaan belum ditubuhkan hendaklah diuruskan dengan mengisi borang atau secara on-line kepada PUSPANITA Kebangsaan.

Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan berkuasa menerima atau menolok permohonan menjadi ahli tanpa memberi apa-apa sebab.

Permohonan untuk Ahli Seumur Hidup hendaklah berurusan terus dengan Setiausaha Agung PUSPANITA.

Larangan Menjadi Ahli 

Seseorang pemohon yang layak menjadi ahli mengikut syarat di perenggan 8.1 di atas tetapi masih menjadi seorang pelajar universiti/kolej tempatan, tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan kecuali mendapat kebenaran secara bertulis daripada Naib Canselor Universiti atau Pengetua Kolej berkenaan;

Keahlian akan luput apabila suami seseorang ahli itu ataupun ahli itu sendiri berhenti atau diberhentikan daripada berkhidmat dengan Kerajaan.

 

PUSPANITA Cawangan Kecil BHEUU tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta terpelihara @ 2016 - PUSPANITA BHEUU JPM